Tuesday, October 13, 2009

2. Hibah perlu disempurnakan semasa hayat


Soalan:BETULKAH harta tak alih (sebuah rumah di Kuala Lumpur) yang dihibahkan hendaklah didaftarkan di atas nama penerima hibah (saya) semasa pemberi hibah (ibu saya) masih hidup?.
Apa yang akan berlaku jika hibah tersebut tidak disempurnakan semasa hayatnya? Bagaimana jika hibah itu dibuat ke atas harta yang bercagar dan perlaksanaan tidak dapat dilakukan kerana ianya berkaveat?
- Wan Faizul,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Terima kasih atas pertanyaan saudara. Terdapat pelbagai cara membahagi dan memindahmilik harta menurut hukum syara’. Antaranya ialah pembahagian melalui faraid, wasiat, sedekah, hadiah dan juga hibah.

Menurut kitab I'aanatul Taalibin, konsep hibah ditakrifkan seperti berikut:
“Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru' (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran."

Terdapat tiga rukun yang mesti dipenuhi untuk menjadikan perjanjian hibah itu sah menurut hukum syarak. Rukun-rukun tersebut adalah pihak-pihak di bawah perjanjian hibah yakni pemberi hibah (wahib) dan penerima hibah (mawhub lahu), akad hibah melalui ijab dan kabul, dan barang atau harta yang dihibahkan itu (mawhab).

Selain daripada rukun-rukun di atas, hibah juga mesti disempurnakan semasa tuan punya harta masih hidup. Dengan yang demikian, perjanjian hibah antara saudara dengan ibu saudara mesti dilaksanakan semasa hayatnya, barulah ianya berkesan.

Ibu saudara sebagai pemberi hibah juga mestilah bebas menguruskan harta tersebut tanpa sebarang sekatan. Pindah milik rumah melalui perjanjian hibah tidak boleh dilakukan sekiranya rumah terbabit dijadikan cagaran dan dikaveatkan melainkan cagaran itu ditamatkan dan kaveat ke atas rumah itu ditarik balik.

Proses pemindahan harta hibah dilakukan berdasarkan prosedur di bawah Seksyen 215 Kanun Tanah Negara 1965. Untuk menukarkan nama ibu saudara sebagai pemilik rumah yang dihibahkan kepada nama saudara, Borang 14A perlu dilengkapkan.

Jika hibah telah dilaksanakan dengan sempurna, waris-waris ibu saudara yang lain tidak boleh menuntut harta yang telah dihibahkan kelak.

Isu yang paling penting di sini adalah ibu saudara mesti memindahkan rumah tersebut kepada saudara semasa hayatnya lagi. Sekiranya terdapat syarat bahawa rumah tersebut akan dipindahkan kepada saudara hanya selepas kematian ibu saudara sekalipun, ia dianggap tidak sah daripada segi hukum syariah. Akibatnya, rumah yang dihibahkan itu akan dibahagikan menurut hukum faraid.


Untuk keterangan berkaitan dengan hibah
hubungi ustaz hizam
0177785021

No comments:

Post a Comment