Tuesday, October 13, 2009

3. Anak Tegah Ayah Hadiah Rumah

Saya bernikah dengan seorang duda yang mempunyai sembilan anak. Sebelum bernikah, suami saya berjanji ingin menghadiahkan rumah yang kami diami sekarang kepada saya. Tetapi malangnya anak-anak suami saya semuanya tidak setuju.
Bolehkah mereka membantah kehendak suami saya? Adakah mereka ada hak? Saya bimbangkan masa tua saya nanti. Jika suami meninggal dunia nanti, ke mana saya yang tua dan uzur ini nak pergi?
- Julianna Amran,
Selangor.

Jawapan:
Harta yang dikumpul bukanlah untuk direbut malah tujuannya supaya kita boleh mendapat manfaat daripadanya. Islam memberi kebebasan kepada pemilik harta bagaimana dia mahu menguruskan hartanya. Dalam kes puan ini, jika suami puan berniat untuk memberikan rumah tersebut sebagai hadiah, maka dari segi undang-undangnya ada cara untuk menjamin hak puan kelak.
Cara yang kami maksudkan ialah suami puan boleh berhibah, iaitu memberi sesuatu semasa hidupnya kepada seseorang.

Islam menggalakkan umatnya berhibah kerana hibah ini sangat bersesuaian dengan konsep tolong-menolong sesama kaum keluarga yang lebih afdal kerana boleh mengeratkan tali silaturahim, seperti firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolong menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa.”

Apabila sesuatu harta itu telah diisytiharkan sebagai hibah, secara automatik harta tersebut akan terkeluar daripada harta pusaka sekira pemberi meninggal dunia. Harta tersebut akan menjadi hak milik orang yang menerima hibah dan tidak lagi akan difaraidkan kepada waris-waris yang lain.

Di sini jika suami telah menghibahkan rumah tersebut kepada puan, anak-anaknya tidak lagi boleh menuntut rumah tersebut sebagai harta pusaka. Puan merupakan pemilik sah rumah tersebut.

Melihat kepada konteks pengurusan harta pusaka hari ini, hibah akan menjadi lebih berkesan jika dibuat secara bertulis. Menyerahkan hibah melalui satu dokumen atau membuat pindah milik harta di pejabat tanah akan memudahkan puan kemudian hari.

Suami puan dinasihati supaya memilih dua orang saksi bagi menandatangani dokumen hibah yang akan memudahkan proses penyaksian di mahkamah, jika keadaan memerlukan.

Dokumentasi dan penyaksian ini akan membantu puan sekiranya ada pertikaian antara waris-waris. Apabila mahkamah mengesahkan bahawa harta tersebut telah dihibahkan, maka waris-waris tidak boleh lagi menuntut bahagian daripada harta tersebut.Soal pengurusan dan perancangan harta pusaka seharusnya dipandang serius oleh orang Islam keseluruhannya.
Untuk keterangan lanjut tentang hibah
sila hubungi ustaz hizam
017 7785 021
.

No comments:

Post a Comment