Tuesday, October 20, 2009

6. Tidak Rela bapa dapat pusaka

Saya seorang wanita berkerjaya berumur 47 tahun. Saya tidak berkahwin dan tinggal bersama ibu dan seorang anak angkat perempuan berumur lapan tahun. Tiga bulan yang lepas, saya telah disahkan mengidap penyakit kanser. Doktor memberi saya anggaran tempoh hayat selama enam bulan ke satu tahun.
Persoalan saya adalah mengenai isu pembahagian harta selepas saya meninggal dunia kelak. Untuk pengetahuan, bapa saya masih hidup dan saya merupakan anak tunggal. Namun, kami tidak mempunyai perhubungan yang baik. Bapa telah meninggalkan ibu semasa saya masih kecil. Saya tidak mahu harta saya dibahagikan kepada bapa yang tidak bertanggungjawab atau adik-beradik tiri yang langsung tidak pernah mengambil peduli tentang saya atau ibu selama ini. Bagaimanakah saya boleh memastikan ibu dan anak angkat saya akan menerima harta peninggalan saya sepenuhnya.
Ummi Kalsom
Perlis Indra Kayangan
Jawapan
Pembahagian harta pusaka bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam Islam. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa' menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.
Merujuk kepada kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini yang telah menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang-barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang telah sempurna rukunnya tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumian, hutang dan wasiat.
Setelah diselesaikan perkara-perkara tersebut barulah baki harta itu dibahagikan menurut hukum faraid.
Dalam kitab tersebut wasiat telah ditafsirkan sebagai pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberiannya sudah mati.
Pemberian wasiat orang Islam boleh diberikan dengan kadar tidak melebihi 1/3 bahagian sahaja. Wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak berkuatkuasa kecuali mendapat persetujuan ahli waris yang lain atau kadar tersebut mesti dikurangkan sehingga sekadar 1/3 sahaja. Hukum Syarak juga telah menetapkan bahawa penerima harta pusaka melalui wasiat ini adalah seseorang yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris.
Legaliti dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud: "di wajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di atas kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat lah untuk ibu dan bapa dan karib kerabatnya secara ma'ruf. Ini adalah kewajipan atas orang yang bertakwa"
Merujuk kepada soalan saudari iaitu mengenai pembahagian harta kepada anak angkat. Anak angkat saudari bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid.
Oleh itu, saudari bolehlah mewasiatkan harta-harta saudari yang nilainya tidak melebihi satu pertiga nilai jumlah keseluruhan kepada anak angkat tersebut.
Manakala, bahagian untuk ibu saudari ditetapkan melalui pembahagian harta secara faraid. Secara amnya, nisbah pembahagian harta pusaka menurut hukum faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah syariah melalui suatu sijil faraid dalam setiap kes.
Manakala kaedah kedua adalah melalui pemberian harta tersebut secara hibah. Hukum Syarak menetapkan tiga rukun yang mesti dipatuhi dalam pemberian harta secara hibah. Rukun-rukun tersebut adalah seperti berikut:-
1. pihak-pihak di bawah perjanjian hibah yakni pemberi hibah (wahib) dan penerima hibah
(mawhub lahu),
2. lafaz terhadap hibah tersebut (merangkumi perjanjian atau pengakuan)
3. barang atau harta yang dihibahkan itu (mawhab).
Saudari boleh memperuntukan harta tersebut kepada ibu dan anak angkat saudari melalui
kaedah hibah tersebut.
Hibah boleh disempurnakan semasa saudari masih hidup, berbeza dengan wasiat di mana ia sempurna dari segi perlaksanaannya apabila pemberi wasiat meninggal dunia.
Oleh itu, saudari bolehlah memindahkan harta-harta tersebut kepada ibu atau anak angkat semasa hayat saudari masih ada secara hibah seperti yang telah dinyatakan di atas.
Proses pindah milik harta-harta tersebut ini boleh dilakukan dalam beberapa cara. Contohnya, jika saudari memiliki harta seperti tanah, saudari boleh memindahkan tanah tersebut kepada nama ibu menerusi prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965. Melalui proses ini, waris-waris saudari yang lain tidak akan berhak langsung kepada harta benda saudari kelak.
Sebarang maklumat lanjut, saudari boleh menghubungi pihak kami. Sekiranya saudari masih tidak jelas berkenaan prosedur perceraian ini, dinasihatkan agar mendapatkan khidmat guaman sama ada Biro Bantuan Guaman atau Pusat Bantuan Guaman atau mana-mana peguam syarie bagi mendapatkan nasihat berhubung dengan prosedur tersebut.
Edit...
Pertanyaan tentang hibah hubungi :
ustaz hizam
017 7785 021
.

Sunday, October 18, 2009

5. Mahu hibah untuk jaga kebajikan ibu


SAYA mempunyai persoalan tentang harta peninggalan wanita bujang. Saya ditinggalkan oleh ayah sejak kecil tanpa nafkah. Emak sayalah yang membesarkan saya.
Saya merupakan anak tunggal. Mengikut hukum faraid, sekiranya saya meninggal, sebahagian besar harta peninggalan saya akan diwarisi oleh ayah dan adik-beradik tiri saya (berlainan emak).
Saya merasakan ayah saya tidak berhak langsung mendapat harta saya kerana dia telah mengabaikan kami sekeluarga. Tidak adil rasanya jika dia yang selama ini tidak menghiraukan kami sekeluarga tiba-tiba mendapat bahagian daripada harta yang saya kumpulkan selama ini, tanpa bantuannya. Saya mahukan harta peninggalan saya digunakan untuk menjaga kebajikan ibu saya dan anak angkat saya. Bagaimana boleh saya tinggalkan harta saya kepada mereka setelah ketiadaan saya?


Jawapan:
Seperti yang saudari sedia maklum, Islam telah menetapkan prinsip-prinsip pengagihan harta si mati, yang secara lazimnya dikenali sebagai hukum faraid. Prinsip-prinsip am hukum faraid terkandung dalam al-Quran, Surah al-Nisa, ayat 11-14.

Namun, faraid bukanlah satu-satunya cara pembahagian harta dalam Islam. Kami di Sisters In Islam memahami kehendak saudari yang ingin memastikan kebajikan dan kepentingan orang-orang tersayang dilindungi apabila saudari tiada nanti.

Surah al-Nisa ayat 11 telah menyatakan bahawa "…pembahagian itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya…"
Seorang Islam boleh meninggalkan wasiat, tetapi wasiat tersebut mestilah mematuhi syarat-syarat berikut:
i. tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta pemberi wasiat;
ii. penerima wasiat mestilah seorang yang tidak disenaraikan sebagai waris dalam hukum faraid - syarat kedua ini adalah hukum mengikut mazhab Sunni.
Bagaimanapun, kebanyakan ulama Sunni juga berpendapat bahawa wasiat kepada salah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid (misalannya, dalam kes saudari ini, ibu saudari) masih sah sekiranya waris-waris lain setuju dengan isi kandungan wasiat selepas kematian pemberi wasiat.

Namun demikian, masalah mungkin timbul apabila salah seorang waris yang sah tidak bersetuju dengan wasiat tersebut. Apabila ini berlaku, mahkamah akan merujuk kepada hukum faraid.
Dalam kes saudari, anak angkat bukanlah seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Jadi, saudari bolehlah mewasiatkan kepadanya tidak melebihi satu pertiga (1/3) nilai jumlah keseluruhan harta saudari. Waris-waris yang sah tidak boleh mempertikaikan wasiat ini kerana cukup syarat-syaratnya.

Ibu saudari pula merupakan seorang waris yang tersenarai dalam hukum faraid. Sekiranya seseorang Islam itu meninggal dunia, maka ibu si mati hanya berhak menuntut harta benda si mati mengikut perkiraan hukum faraid. Sekiranya si mati meninggalkan hanya ibu dan ayahnya dan tidak ada anak, maka, secara amnya, ibu akan berhak mendapat satu pertiga (1/3) dan ayah akan berhak mendapat dua pertiga (2/3) daripada harta si mati.

Di negara kita ini, nisbah pembahagian harta pusaka menurut faraid secara lazimnya ditentukan oleh Mahkamah Syariah melalui suatu sijil faraid bagi setiap kes. Sekiranya si mati telah meninggalkan wasiat, maka pembahagian harta pusaka kepada ayah dan ibu akan dilakukan selepas wasiat disempurnakan.

Hukum faraid tidak akan terpakai sekiranya si mati, sebelum kematiannya, telah memindahkan harta kepada orang lain. Jadi, dalam keadaan sekarang ini, saudari bolehlah mempertimbangkan untuk memindahkan harta tertentu kepada ibu atau anak angkat semasa hayat saudari masih ada (sekiranya saudari ingin memberi wasiat kepada anak angkat). Melalui proses ini, waris-waris yang lain tidak akan berhak kepada harta pusaka saudari kelak.

Konsep ini diberi nama hibah atau terjemahannya hadiah. Apa yang penting ialah saudari perlu memindahkan harta yang ingin diberi kepada ibu dan anak angkat semasa saudari masih hidup. Hibah itu juga mestilah diterima oleh penerima. Jika penerima tidak tahu bahawa ia telah dihibahkan sesuatu benda, maka hibah tersebut mungkin tidak sah.

Edit...
Untuk keterangan lanjut tentang hibah
hubungi ustaz hizam
017 7785 021
.

Wednesday, October 14, 2009

4. Ingin Beri Harta Pada Anak Angkat

Saya seorang wanita yang berusia 40 tahun dan tidak pernah berkahwin. Baru-baru ini hati terbuka untuk mengambil seorang anak yatim sebagai anak angkat. Bagaimana prosedur untuk mengambil anak angkat? Bagaimana dengan pembahagian harta kepada anak angkat?
*Sebatang Kara,
*Batu Tiga, Shah Alam
.Jawapan:
. Terdapat dua cara untuk mengambil anak angkat di Malaysia. Pertama ialah dengan secara terus daripada ibu bapa yang ingin memberikan anak mereka sebagai anak angkat. Cara yang kedua ialah melalui permohonan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jika saudari ingin memohon anak angkat melalui JKM, saudari boleh memohon sama ada melalui surat, faks, telefon, email atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di mana saudari bermastautin.

. Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 257) juga memperuntukan syarat-syarat yang perlu dipenuhi antaranya, ibu bapa angkat mestilah sekurang-kurangnya berumur 25 tahun dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada anak angkat itu. Anak angkat itu hendaklah di bawah umur 18 tahun dan ibu bapa dan anak angkat hendaklah menetap di Malaysia.
. Mengikut peruntukan undang-undang, pengambilan anak pelihara secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada satu minggu selepas pengambilan.
. Kebiasaannya, pemohon anak angkat ini adalah pasangan yang telah berkahwin, namun Akta tidak menghalang bagi seorang yang bujang untuk memohon anak angkat.
. Apa yang perlu saudari lakukan ialah membuktikan kepada JKM bahawa walaupun saudari akan menjaga anak angkat tersebut berseorangan, tetapi saudari sanggup mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi memastikan bahawa kebajikan anak tersebut akan terpelihara.
. Melihat kepada amalan, agak sukar bagi seorang yang masih bujang untuk mendapat anak angkat. Oleh sebab tujuan utama JKM ialah memelihara kebajikan anak angkat tersebut, maka JKM berusaha untuk memberikan institusi keluarga yang sempurna kepada anak angkat itu.
. Anak angkat dapat disahkan sebagai anak pelihara mengikut undang-undang melalui dua cara permohonan. Pertama, permohonan dibuat dalam masa tiga bulan selepas menerima kanak-kanak dalam penjagaan pemohon. Permohonan cara kedua adalah dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253).
. Permohonan untuk pengesahan ini hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara dalam penjagaan keluarga pelihara. Bagi keluarga yang beragama Islam permohonan untuk pengesahan anak pelihara hanya boleh dibuat melalui Akta 253, iaitu Akta Pendaftaran Pengangkatan sahaja.
. Permohonan untuk pengesahan pengangkatan hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam jagaan pemohon. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Pendaftaran Negara.
. Dari segi pembahagian harta bagi anak angkat, Islam tidak memperuntukkan ketetapan bagi anak angkat dalam penerimaan harta pusaka. Tiada ketetapan faraid bagi anak angkat untuk mewarisi harta ibu atau bapa angkat.
Namun, jika ingin mewariskan harta kepada anak angkat, maka harta itu boleh dibahagi secara hibah ketika hayat bapa atau ibu angkat.

. Selain itu adalah dengan cara mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi dengan syarat tidak boleh mewasiatkan lebih daripada 1/3 daripada keseluruhan harta pusaka.
Edit...
Sebarang pertanyaan berkaitan hibah sila hubungi
ustaz hizam
017 7785 021
.

Tuesday, October 13, 2009

3. Anak Tegah Ayah Hadiah Rumah

Saya bernikah dengan seorang duda yang mempunyai sembilan anak. Sebelum bernikah, suami saya berjanji ingin menghadiahkan rumah yang kami diami sekarang kepada saya. Tetapi malangnya anak-anak suami saya semuanya tidak setuju.
Bolehkah mereka membantah kehendak suami saya? Adakah mereka ada hak? Saya bimbangkan masa tua saya nanti. Jika suami meninggal dunia nanti, ke mana saya yang tua dan uzur ini nak pergi?
- Julianna Amran,
Selangor.

Jawapan:
Harta yang dikumpul bukanlah untuk direbut malah tujuannya supaya kita boleh mendapat manfaat daripadanya. Islam memberi kebebasan kepada pemilik harta bagaimana dia mahu menguruskan hartanya. Dalam kes puan ini, jika suami puan berniat untuk memberikan rumah tersebut sebagai hadiah, maka dari segi undang-undangnya ada cara untuk menjamin hak puan kelak.
Cara yang kami maksudkan ialah suami puan boleh berhibah, iaitu memberi sesuatu semasa hidupnya kepada seseorang.

Islam menggalakkan umatnya berhibah kerana hibah ini sangat bersesuaian dengan konsep tolong-menolong sesama kaum keluarga yang lebih afdal kerana boleh mengeratkan tali silaturahim, seperti firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolong menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa.”

Apabila sesuatu harta itu telah diisytiharkan sebagai hibah, secara automatik harta tersebut akan terkeluar daripada harta pusaka sekira pemberi meninggal dunia. Harta tersebut akan menjadi hak milik orang yang menerima hibah dan tidak lagi akan difaraidkan kepada waris-waris yang lain.

Di sini jika suami telah menghibahkan rumah tersebut kepada puan, anak-anaknya tidak lagi boleh menuntut rumah tersebut sebagai harta pusaka. Puan merupakan pemilik sah rumah tersebut.

Melihat kepada konteks pengurusan harta pusaka hari ini, hibah akan menjadi lebih berkesan jika dibuat secara bertulis. Menyerahkan hibah melalui satu dokumen atau membuat pindah milik harta di pejabat tanah akan memudahkan puan kemudian hari.

Suami puan dinasihati supaya memilih dua orang saksi bagi menandatangani dokumen hibah yang akan memudahkan proses penyaksian di mahkamah, jika keadaan memerlukan.

Dokumentasi dan penyaksian ini akan membantu puan sekiranya ada pertikaian antara waris-waris. Apabila mahkamah mengesahkan bahawa harta tersebut telah dihibahkan, maka waris-waris tidak boleh lagi menuntut bahagian daripada harta tersebut.Soal pengurusan dan perancangan harta pusaka seharusnya dipandang serius oleh orang Islam keseluruhannya.
Untuk keterangan lanjut tentang hibah
sila hubungi ustaz hizam
017 7785 021
.

2. Hibah perlu disempurnakan semasa hayat


Soalan:BETULKAH harta tak alih (sebuah rumah di Kuala Lumpur) yang dihibahkan hendaklah didaftarkan di atas nama penerima hibah (saya) semasa pemberi hibah (ibu saya) masih hidup?.
Apa yang akan berlaku jika hibah tersebut tidak disempurnakan semasa hayatnya? Bagaimana jika hibah itu dibuat ke atas harta yang bercagar dan perlaksanaan tidak dapat dilakukan kerana ianya berkaveat?
- Wan Faizul,
Kuala Lumpur.

Jawapan:
Terima kasih atas pertanyaan saudara. Terdapat pelbagai cara membahagi dan memindahmilik harta menurut hukum syara’. Antaranya ialah pembahagian melalui faraid, wasiat, sedekah, hadiah dan juga hibah.

Menurut kitab I'aanatul Taalibin, konsep hibah ditakrifkan seperti berikut:
“Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru' (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran."

Terdapat tiga rukun yang mesti dipenuhi untuk menjadikan perjanjian hibah itu sah menurut hukum syarak. Rukun-rukun tersebut adalah pihak-pihak di bawah perjanjian hibah yakni pemberi hibah (wahib) dan penerima hibah (mawhub lahu), akad hibah melalui ijab dan kabul, dan barang atau harta yang dihibahkan itu (mawhab).

Selain daripada rukun-rukun di atas, hibah juga mesti disempurnakan semasa tuan punya harta masih hidup. Dengan yang demikian, perjanjian hibah antara saudara dengan ibu saudara mesti dilaksanakan semasa hayatnya, barulah ianya berkesan.

Ibu saudara sebagai pemberi hibah juga mestilah bebas menguruskan harta tersebut tanpa sebarang sekatan. Pindah milik rumah melalui perjanjian hibah tidak boleh dilakukan sekiranya rumah terbabit dijadikan cagaran dan dikaveatkan melainkan cagaran itu ditamatkan dan kaveat ke atas rumah itu ditarik balik.

Proses pemindahan harta hibah dilakukan berdasarkan prosedur di bawah Seksyen 215 Kanun Tanah Negara 1965. Untuk menukarkan nama ibu saudara sebagai pemilik rumah yang dihibahkan kepada nama saudara, Borang 14A perlu dilengkapkan.

Jika hibah telah dilaksanakan dengan sempurna, waris-waris ibu saudara yang lain tidak boleh menuntut harta yang telah dihibahkan kelak.

Isu yang paling penting di sini adalah ibu saudara mesti memindahkan rumah tersebut kepada saudara semasa hayatnya lagi. Sekiranya terdapat syarat bahawa rumah tersebut akan dipindahkan kepada saudara hanya selepas kematian ibu saudara sekalipun, ia dianggap tidak sah daripada segi hukum syariah. Akibatnya, rumah yang dihibahkan itu akan dibahagikan menurut hukum faraid.


Untuk keterangan berkaitan dengan hibah
hubungi ustaz hizam
0177785021

Monday, October 12, 2009

1. Hibah Harta

Hibah adalah satu lagi produk bagi umat Islam. Adakah anda pernah mendengarnya?! Anda munkin pernah mengetahuinya melalui media massa, pembelajaran atau terbaca mengenainya. Atau anda munkin katakan "tidak" kerana anda memang tidak pernah sekali mendengar atau mengetahui tentang hibah sebelum ini.

Munkinkah hibah itu hadiah?! dari segi bahasa hibah bermaksud hadiah atau satu pemberian. Tapi dari segi Istilah hibah merupakan satu kontrak pemberian oleh seseorang kepada seseorang yang lain yang mana pelaksanaan satu pemberian itu adalah selepas kematian pemberi hibah tersebut.